Tuesday, April 29, 2008

Selayang Pandang

Kolej Pertanian Malaysia (KPM) nie ditubuhkan tahun 2006
Kursus yang ditawarkan kat sini ada Sijil KEmahiran Malaysia (SKM) bidang Ruminan , Tanaman, Akuakultur, Pemasaran dan Pemprosesan Makanan.
KPM letaknya di Jalan LAnggar, Alor Setar dan Bukit Tangga , Bukit Kayu Hitam..
Pengambilan Pelatih 6 bulan sekali...iklan kat suratkhabar utama hari minggu....

Lahirnya Kolej Pertanian Malaysia

Pelancaran Kolej Pertanian Malaysia di Kedah hari ini
Usaha menyediakan tenaga mahir pertanian
Oleh NAZERI NONG SAMAH(WARTAWAN UTUSAN)
PENUBUHAN Kolej Pertanian Malaysia (KPM) telah memperlihatkan bahawa kerajaan bertindak serius untuk menyediakan pasaran tenaga mahir dan profesional bagi menjana sektor pertanian negara yang bertaraf global.
Langkah itu juga adalah bagi membuktikan bahawa Malaysia mampu kekal sebagai negara pertanian yang seiring dengan pembangunan sektor industri berat perkilangan.
Satu ketika dahulu sejak awal merdeka pada tahun 1957 hingga 1970-an, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang berasaskan pertanian, tetapi menjelang tahun 1980 hingga kini ia lebih dikenali pula dalam sektor perindustrian berat perkilangan dan elektronik.
Antara kemuncak daripada penumpuan terhadap sektor perindustrian berat serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga telah mendorong nama Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang, Selangor telah ditukar menjadi Universiti Putra Malaysia.
Mengikut sejarahnya, UPM bermula sebagai Kolej Pertanian Malaya sehinggalah dinaik taraf menjadi universiti.
Sejajar dengan tuntutan semasa, maka keperluan kolej pertanian seperti itu perlu diwujudkan semula dengan nama ringkasnya KPM.
KPM yang baru ini bermula pada April 2003 itu memulakan dengan pengambilan 52 penuntut diploma daripada kalangan kakitangan agensi di bawah Kementerian Pertanian ditempatkan di kampus sementara Kilometer 4, Jalan Langgar, Alor Star, Kedah.
Para penuntut itu telah dikenal pasti oleh jabatan dan agensi masing-masing sebagai bakal tenaga pengajar Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) di institut serta pusat latihan jabatan dan agensi Kementerian Pertanian.
Pelancaran bersama kampus sementara KPM di Jalan Langgar, Alor Star itu akan disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Datuk Mohd. Effendi Norwawi dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain pada pagi 28 April 2003 ini.
Bagi projek kampus tetapnya pula dicadang untuk dibangunkan di tapak tanah seluas 300 hektar yang strategik di Bukit Tangga, Kedah berhampiran dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan stesen MARDI itu dijangka akan dapat dibangunkan menjelang 2005.
Kementerian Pertanian telah membuat permohonan tapak KPM itu kepada Pejabat Tanah dan Galian Kedah melalui Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.
Jika semuanya berjalan lancar, kampus tetap KPM yang menelan kos dianggarkan tidak kurang dari pada RM200 juta itu dijangka akan dapat beroperasi sepenuhnya pada tahun 2007 berupaya melatih sehingga 7,200 penuntut dalam satu-satu masa dengan 1,800 orang adalah pelatih sepenuh masa.
Kewujudan semula kolej pertanian itu adalah kerana menyedari kepentingan sektor pertanian amat penting dipelihara kerana ia berperanan besar untuk mengeluarkan lebih banyak produk makanan sebagai penyambung nyawa manusia.
Justeru sektor pertanian tidak boleh dipandang sepi kerana pertanian juga boleh menjadi industri besar sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negara jika diusahakan secara besar-besaran dan menggunakan kaedah moden.
Menteri Pertanian, Mohd. Effendi berkata, penubuhan KPM itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk mendirikan sebuah institusi khusus bagi menawarkan pengajian dan latihan dalam bidang pertanian.
Menurutnya, kurikulum di KPM itu bukan sahaja menggunakan tenaga pengajar tempatan, malah akan mendapat kerjasama daripada universiti dan kolej pertanian luar negara seperti dari Belanda, Australia dan United Kingdom.
``Pengurusan serta pentadbiran KPM adalah di bawah Kementerian Pertanian yang menawarkan pengajian hingga peringkat diploma itu mempunyai objektif menghasilkan graduan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,'' katanya.
Pusat latihan
Bagaimanapun KPM didaftarkan dengan Kementerian Pendidikan sebagai sebuah pusat latihan bagi memenuhi keperluan di bawah Seksyen 79, Akta Pendidikan 1996.
Tegas beliau, usaha itu juga bertepatan dengan persiapan untuk meletakkan Malaysia dalam era pertanian moden ke arah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi eksport industri berkenaan.
Menurutnya, penubuhan KPM itu adalah bertitik tolak daripada kertas cadangan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) oleh Kementerian Pertanian bagi memenuhi aspirasi Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).
Katanya, DPN3 mendapati satu bentuk latihan kemahiran bersepadu perlu diwujudkan bagi menyediakan sekumpulan tenaga kerja mahir dan separa mahir bagi sektor pertanian.
Sementara itu Ketua Pasukan Projek Pusat Latihan Pertanian, Dr. Ahmad Suhaimi Omar dan Pengarah Pembangunan Kurikulum Pusat Latihan Pertanian Negara, Kementerian Pertanian, Dr. Kamaruzaman Salim berkata, struktur KPM akan diketuai oleh seorang pengarah dan dibantu oleh beberapa orang penolong pengarah yang bertanggungjawab ke atas perjalanan satu-satu sekolah secara berperingkat.
``Penubuhan sekolah-sekolah teknikal adalah bergantung kepada permintaan pasaran buruh di samping pembangunan kurikulum pembelajaran dan untuk permulaan di KPM terdapat lima sekolah teknikal serta sebuah sekolah keusahawanan teras kolej,'' kata mereka.
Kesemua lima buah sekolah itu ialah Sekolah Pertanian, Sekolah Perikanan, Sekolah Ternakan, Sekolah Pemasaran Hasil Pertanian, Sekolah Pemprosesan Pertanian dan Sekolah Keusahawanan/Teras Kolej.
Latihan yang diberikan adalah berasaskan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) yang diiktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), Kementerian Sumber Manusia bagi menjamin graduan KPM mudah mendapat pekerjaan di sektor industri.
Kelayakan syarat kemasukan ke KPM untuk pengajian diploma ialah mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau daripada kalangan kakitangan agensi di bawah Kementerian Pertanian.
KPM memberi pendekatan pembelajaran `dua dalam satu' yang berupaya untuk menawarkan dua diploma dalam satu pengajian menerusi akademik dan kemahiran.
Berdasarkan kurikulum pendidikan akademik, graduan KPM yang layak akan memperoleh Diploma Sains Pengurusan (DSP) dalam bidang teknikal.
Manakala pembelajaran berasaskan SKPK pula layak menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) daripada MLVK, Kementerian Sumber Manusia.
Secara umumnya program latihan kemahiran pertanian peringkat diploma akan mengambil masa selama tiga tahun dengan dua tahun pertama akan dilaksanakan di institut, pusat latihan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian yang menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Sains Pengurusan (SSP).
Lulusan sijil-sijil tersebut boleh menyambung setahun lagi bagi pengajian diploma di KPM.
Di samping itu pemegang DSP secara automatik akan memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) kerana kurikulum DSP mencakupi kurikulum DKM.